Iklan Penaja
Radio Pilihan Anda
Anak Sosilawati syukur keputusan mahkamah kes bunuh ibunya
SHAH ALAM 23 Mei - Erni Dekritawati Yuliana Buhari melahirkan rasa syukur selepas mendengar tertuduh dalam kes pembunuhan ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, dijatuhi hukuman gantung sampai mati hari ini.
Katanya selepas menunggu hampir tiga tahun, beliau sekeluarga amat berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu yang dijatuhkan ke atas empat orang termasuk bekas peguam N. Pathmanabhan yang didapati bersalah membunuh Sosilawati kira-kira tiga tahun lepas.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah, pihak media dan semua warga Malaysia yang selama ini menyokong kami sekeluarga selepas pemergian ibu saya.
"Tidak dapat membayangkan ini dengan kata-kata," kata anak sulung Sosilawati itu ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh Sosilawati dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak berada di dalam mahkamah ketika penghakiman kes dibacakan, Erni Dekritawati atau lebih mesra dipanggil Rita, 28, berkata beliau tiada kekuatan untuk mendengar keputusan itu dibacakan.
Anak sulung daripada enam beradik itu sebelum ini dilapor berkata akan meneruskan legasi perniagaan Sosilawati untuk memenuhi impian ibunya yang mahu melihat beliau menjadi usahawan berjaya. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130523/dn_26/Anak-Sosilawati-syukur-keputusan-mahkamah-kes-bunuh-ibunya#ixzz2UB8QXKpc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tinggalkan Komen Anda